ALAM FLORA TERIMA SERAHAN 173 UD TRUCKS BAHARU UNTUK PERKEMBANGAN KAPASITI DAN KECEKAPAN PEMBERSIHAN AWAM
UD Trucks Malaysia dan rakan pengedar tunggal, Tan Chong Industrial Equipment Sdn Bhd (TCIE), telah menyerahkan sebanyak 173 trak baharu yang terdiri daripada model tugas sederhana UD Croner dan tugas ringan UD Kuzer kepada Alam Flora Sdn Bhd (Alam Flora), sebuah syarikat konsesi yang menguruskan perkhidmatan kutipan sisa pepejal dan pembersihan awam untuk Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, serta negeri Pahang.
Alam Flora telah memperoleh trak-trak tersebut dengan tujuan mengembangkan lagi kapasiti kutipan sisa pepejal dan pembersihan awam, serta meningkatkan kecekapan operasinya. Oleh sebab saiz pembelian yang besar, penghantaran trak-trak tersebut kepada Alam Flora telah dilaksanakan secara berkelompok dan berperingkat, selaras dengan kawalan kualiti pengeluaran dan penyesuaian badan trak untuk pengumpulan sisa yang produktif.
Penghantaran yang terakhir baru-baru ini telah diraikan dengan majlis penyerahan kenderaan yang diadakan di premis rakan pembina badan trak dalam perjanjian ini, Terberg Malaysia, di Balakong, Selangor. Majlis tesebut menyaksikan sebanyak lima unit trak UD Croner yang telah diserahkan secara rasminya kepada Alam Flora.
Para hadirin di majlis tersebut termasuk Ketua Pegawai Eksekutif Alam Flora Shariman Yusuf bin Mohamed Zain, Ketua Pegawai Operasi TCIE Loh Thim Choy, Timbalan Pengurus Besar untuk Perkhidmatan Selepas Jualan TCIE Tanasegaran Kesavan, Ketua Pegawai Eksekutif Terberg Tractors Malaysia Boo Wei Ching, dan Pengarah Urusan Terberg Zenith Malaysia Jeremy Boanson-James.
Pengarah Wilayah UD Trucks untuk Asia Tenggara & Asia Timur Keiichiro Ochiai berkata, "UD Trucks dan TCIE erat berkerjasama dalam menyempurnakan komitmen kami, dan kami berterima kasih atas keyakinan dan kepercayaan yang diberikan oleh Alam Flora. Keyakinan para pelanggan kami mewakili satu penanda aras yang jelas terhadap reputasi kami di pasaran, dan ini menggariskan keupayaan, kebolehpercayaan dan serba boleh UD Trucks."
Ketua Pegawai Eksekutif Alam Flora Shariman Yusuf Bin Mohamed Zain berkongsi di majlis penyerahan itu, "Alam Flora berkomited dalam memajukan pengurusan sisa pepejal serta mengutamakan kesihatan awam melalui semua perkhidmatan kami. Trak-trak baharu Croner dan Kuzer kami telah ditempatkan di pelbagai kawasan konsesi untuk kerja-kerja pengutipan sisa dan saya gembira memaklumkan bahawa pasukan armada kami amat berpuas hati dengan kecekapan bahan api, ketahanan dan prestasi UD Trucks.
"Alam Flora bukan sekadar bertanggungjawab mengutip sisa tetapi kami juga perlu mematuhi jadual untuk mengelakkan sampah daripada bertimbun. Oleh itu, adalah penting untuk kami memiliki trak yang boleh dipercayai dan sokongan selepas pasaran yang kukuh daripada rakan kongsi kenderaan. Selain ciri-ciri trak UD yang memenuhi keperluan kami, reputasi TCIE dalam penjagaan selepas pasaran serta rangkaian perkhidmatan yang luas juga memainkan peranan penting dalam keputusan kami untuk membeli bilangan trak sebanyak ini. Keseluruhannya, ini adalah satu pelaburan yang baik untuk meningkatkan kecekapan operasi perkhidmatan pembersihan awam kami.”
UD Croner dilengkapi dengan enjin 6-silinder berkuasa untuk jarak jauh dan beban yang lebih berat. Trak ini boleh menampung tugas yang paling sukar dalam pelbagai situasi operasi, dan transmisi automatiknya yang kukuh telah dioptimumkan untuk logistik dan pemadat sisa. UD Kuzer pula menawarkan fleksibiliti yang handal untuk persekitaran bandar, dan garis pemacu yang dioptimumkan dengan teknologi bimbingan bahan api memastikan kecekapan yang lebih baik.
Trak-trak UD untuk Alam Flora ini telah dipasang dengan badan Olympus termaju dari Terberg Malaysia untuk pengumpulan dan pemadatan sisa muat belakang, serta teknologi pengangkat tong.
Ketua Pegawai Operasi TCIE Loh Thim Choy berkongsi, "Kejayaan dalam penyerahan sebanyak 173 trak UD Croner dan Kuzer ini menandakan satu langkah kerjasama penting untuk menyokong Alam Flora dalam peranannya sebagai salah satu syarikat pengurusan alam sekitar terutama dengan dedikasi memelihara kebersihan awam. TCIE komited dalam menjalin hubungan yang berkekalan dengan Alam Flora dan kami akan menyalurkan sebarang sokongan yang diperlukan bagi memajukan pengurusan sisa pepejal and mengutamakan kesihatan awam."
TCIE menyediakan rangkaian sokongan selepas pasaran yang terdiri daripada pakej UD Extra Mile Services untuk alat ganti tulen, pelan penyelenggaraan harga tetap dengan penjadualan keutamaan, bantuan tepi jalan Res-Q 24/7 dan perkhidmatan berkualiti untuk masa operasi yang berterusan, antara lain.
- Hits: 49